KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) menyarankan pemimpin negara Islam melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) agar mencari jalan menjadikan dinar emas sebagai mekanisme pasaran perdagangan global untuk digunakan di peringkat negara-negara Islam bagi mengatasi masalah 'penyangak' matawang.
Yang Dipertua Persatuan itu Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata Bank Negara Malaysia juga boleh memainkan peranannya dalam merealisasikan penggunaan dinar emas dan dirham perak bagi masyarakat di negara ini.
"Ia (penggunaan dinar emas dan dirham perak) tidak sepatutnya dihalang atau dijadikan sukar kerana ia telah dihalalkan oleh Allah SWT," katanya dalam ucaptama bertajuk 'Kebangkitan Dinar Emas Dalam Muamalah Ummah' yang diedarkan kepada media pada mini siri Dinar Emas dan perasmian Kelab Penyokong Dinar di sini Rabu.
Selain itu katanya para ulama' di negara ini sepatutnya berganding bahu di barisan hadapan untuk membimbing serta memimpin ummah agar bermuamalat menggunakan matawang itu dalam perbelanjaan harian.
Katanya masyarakat awam khususnya umat Islam adalah amat digalakkan memulakan usaha menjadikan dinar sebagai satu bentuk simpanan harta, digunakan sebagai mas kahwin, membayar zakat, sedekah kepada fakir miskin atau anak yatim, dan dijadikan harta cagaran di pusat gadaian al-Rahn.
Syeikh Abdul Halim berkata walaupun nilai matawang dinar emas dan dirham perak sering berubah mengikut harga semasa namun ia tidak menjejaskan sistem kewangan negara.
Katanya, beliau tidak melihat penggunaan dinar dan dirham sebagai satu cabaran kepada dunia hari ini memandangkan ia sudah dapat diterima kembali.
"Saya juga tidak merasakan bahawa sekiranya kita balik kepada asas (penggunaan dinar) emas akan merosot. Ini sudah dibuktikan dalam sejarah bahawa wang tidak menjejaskan nilai emas berbanding kewangan berbentuk kertas seperti yang digunakan sekarang," katanya.
Sementara itu Pengarah Urusan Al-Qafilah International Dr Zahimi Chik berkata buat permulaan ini kebanyakan mereka yang membeli dinar emas adalah untuk simpanan masa depan.
"Jarang kita lihat orang guna dinar untuk kegunaan perbelanjaan harian dan saya jangkakan dalam tempoh lima tahun akan datang orang akan beli dan simpan emas," katanya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan