| Ar-Rahnu KUKUH Selangor Bhd Telah beroperasi | AG MENGUTAMAKAN MUAMALAH YANG SAH | AG Is Giving Priority To A Valid Muamalah | Pengarah Urusan : Hjh Khainarida | Panel Syarak : Hj Othman Hamzah | |

Sabtu, 18 Julai 2009

Ceramah Perjalanan Kisah Isra' Dan Mi'raj

Ceramah saya di mesjid al Huda, seksyen 19, untu rakaman radio selangor f.m sempena bulan Isra' dan mi'raj.

Mukaddimah.

Semenjak lahirnya ke alam dunia, Nabi tidak henti-henti menghadapi cubaan hidup. Percubaan hidup silih berganti dalam melakukan perubahan besar membentuk masyarakat tauhid, sehingga berhadapan dengan kuasa-kuasa besar. Kemuncak dari itu Allah mendatangkan jemputan istimewa kepada baginda yang dinamakan Isra’ dan Mi’raj.

Pengertian :

Isra’ ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. di malam hari dengan berkenderaan Buraq iaitu binatang syurga bermula dari Makkah ke Baitil Maqdis di Palestin. Mi’raj pula ialah naik ke langit yang pertama sehingga bahagian lapisan langit yang tertinggi.

Isra’ dan Mi’raj dengan roh dan jasad?
· Kebanyakan ulamak berpendapat dengan roh dan jasad. Dalilnya, Allah berfirman :


Hamba tentulah dengan jasad dan ruh,

Dan kerana ia adalah perkara luar biasa yang menjadi mukjizat baginda. Perjalanan yang begitu jauh dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat.




Peristiwa yang dilihat dalam Isra’ dan Mi’raj.

Mengandungi jutaan hikmah yang benar-benar berlaku. Tiap-tiap diri umat Islam hendaklah menjadikannya pelajaran dan kesedaran semoga mendapat kemenangan di dunia dan di akhirat. Semuga menjadi seorang muslim yang tulin.

Mari kita melihat satu persatu :

1. Pembelahan dada.

Dadanya dibelah sehingga ke pusat. Dikeluarkan sekelian isi dadanya serta dibersihkan dan dibuang dari hatinya darah yang berwarna hitam iaitu tempat duduknya syaitan, begitu jugalah yang ada pada manusia patut disucikan. Pada diri manusia ada dua bisikan baik dan buruk.

· Kenderaan Buraq.

Selesai pembedahan didatangkan Buraq iaitu kenderaan seperti kuda, jalannya terlalu pantas sejauh mata memandang. Binatang Buraq pernah ditunggangi oleh para Nabi-Nabi dahulu. Oleh kerana terlalu gembiranya Buraq untuk membawa nabi s.a.w., ia melompat-lompat sehingga sukar Nabi untuk menunggangnya.
Berkata Jibril a.s. : “Tidakkah engkau rasa malu wahai Buraq, Demi Allah orang yang menunggangimu tidak lain ialah orang yang paling mulia di antara makhluk-makhluk Allah semuanya”. Mendengar itu Buraq pun merasa malu sehingga mengalirlah keringat di mukanya dan teruslah ia diam, bertenang dan menundukkan badannya untuk ditunggangi. Bermulalah perjalanan Nabi dari kota Makkah ditemani oleh Jibril dan Mikail.

· Tempat perhentian.

Sepanjang perjalanan ada beberapa tempat singgah. Di setiap tempat tersebut baginda solat dua rakaat, dan baginda bertanya kepada Jibril mengenai kepentingan tempat-tempat tersebut.

Perhentian pertama - Madinah.

Jibril mengkhabarkan kepentingan kota Madinah yang baginda akan hijrah ke sana iaitu :

a. Markaz besar daulah Islam-yang menyatukan Ansar dan Muhajirin.

b. Kota Madinah tempat turunnya ayat-ayat Madaniyyah.

Perhentian kedua - Madyan.

Sebuah kampung di daerah Syam. Madyan ialah tempat Nabi Musa a.s. melepaskan lelah dan penat dari perjalanannya keluar daripada negeri Mesir, diburu oleh Firaun. Akhirnya Firaun dan tenteranya ditenggelamkan oleh Allah dalam laut merah.

Perhentian ke 3 - Bukit Tur as Sina’.

Berada di daerah Syam juga. Dahulunya tempat Nabi Musa a.s menerima kitab Taurat.

Perhentian ke 4 - Baitul Lahm.

Satu dusun di luar kota Baitul Maqdis. Disinilah tempat lahir Nabi Isa a.s. oleh Maryam tanpa bapa. Di tempat inilah Isa a.s. masih berumur beberapa hari sahaja mengeluarkan beberapa ucapan penting untuk membebaskan ibunya dari tuduhan.

Firman Allah surah Maryam ayat 31-34 bermaksud ; “Berkata Isa a.s : Sesungguhnya aku seorang hamba Allah yang telah didatangkan kepada aku kitab dan dijadikan aku seorang Nabi. Dan ia jadikan aku seorang yang berkat di mana saja aku berada. Diwasiatkan kepadaku mendirikan solat dan mengeluarkan zakat selama aku masih hidup”.

Perhentian ke 5 - Masjid al Aqsa.

Nabi ditunggu oleh sekelian para Nabi dan Rasul juga para Malaikat dalam satu sof untuk berimamkan baginda.
5 perhentian membayangkan 5 waktu solat yang akan difardhukan. Orang yang solat akan baiklah kehidupannya dan terpimpinlah rohani dan jasmaninya.

· Syaiton memburu baginda.

Jibril mengajar baginda berdoa mohon perlindungan Allah daripada bencana dan gangguan syaiton. Lalu jatuhlah syaiton ke tanah dan padamlah obornya. Setelah itu lenyaplah syaiton.

· Berbagai tamsil yang dilihat :
1. Golongan yang menanam tanaman.

Setiap kali ditanam berhasil dituai, kemudian tumbuh lagi. Begitulah keadaan seterusnya. Jibril menerangkan itulah perbandingan contoh yang menunjukkan seseorang yang mengorbankan harta dan tenaga dijalan Allah.
Kita umat Islam mestilah merasa bertanggungjawab untuk membela agama, dengan melakukan sebarang bentuk pengorbanan di jalan Allah agar kehidupan kita di dunia tidak sia-sia. Semoga ada bekalan pahala sesudah kita mati dan tidaklah berjiwa kebendaan semata.

2. Bau harum Kubur Masyitoh.

Jibril menerangkan itulah bau kubur Masyitoh iaitu tukang sikat Firaun, beserta suami dan anak-anaknya. Ketika Masyitoh menyikat rambut puteri Firaun, terjatuh sikat dari tangannya lantas terucap dari mulutnya ucapan “Dengan nama Allah celaka Firaun”. Firaun marah dan menghukumnya mati satu keluarga.
Masyitoh meminta dihukum mati mereka dalam satu kubur. Lalu Firaun memanaskan minyak panas untuk merebus masyitoh sekeluarga bermula dari suaminya sampailah kepada Masyitoh.
Sedang dalam pelukannya anaknya yang masih kecil. Dengan takdir Allah, anak kecil itu berkata : “Wahai ibu masuklah ke dalam belanga ini, jangan undur, engkau berada di atas kebenaran”.
Beriman kepada Allah tidak dibiarkan begitu sahaja, malah akan diuji. Oleh kerana itu, iman hendaklah dipelihara. Walau apa pun ujian yang mendatang, iman hendaklah dipertahankan.

Firman Allah :

Al-‘Ankabut : 1-2

1. Alif, Laam, Miim.
2. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

3. Golongan yang menghentak kepala dengan batu.

Jibril memberitahu : Inilah orang yang melalaikan sembahyang 5 waktu yang difardhukan.

Meninggalkan solat adalah dosa besar. Sewajibnyalah kita menunaikannya dengan menyempurnakan rukun dan syarat serta menjaga waktunya. Jika sebaliknya bererti kita ini orang yang keras kepala, maka layaklah dipukul sampai hancur, malah disiksa di dalam kubur dan dihari hisab.

4. Golongan bercawat memakan duri-duri kayu.

Golongan yang tidak membayar zakat. Berzakat adalah diwajibkan ke atas orang Islam yang berharta sebagai membantu asnaf yang lapan.
Berzakat membentuk sifat pemurah dan berperi kemanusiaan.

5. Golongan memakan daging busuk dan meninggalkan daging elok.

Jibril menerangkan itulah perumpamaan dan bandingan lelaki yang bersetubuh dengan perempuan yang bukan isterinya. Begitu juga perempuan yang bersetubuh dengan lelaki yang bukan suaminya. Berzina adalah perbuatan yang sangat hina dan keji sekali. Seandainya seseorang tidak dapat mengendalikan nafsunya samalah seperti memakan daging mentah dan busuk, kerana disanalah terletaknya punca kemulian dan kehormatan.

6. Kayu yang menghalang.

Jibril menerangkan inilah bandingan manusia yang menggangu orang lain, termasuklah menyamun, mencuri dan merampas. Begitu juga menghalang orang lain dari melakukan kebaikan. Allah berfirman bermaksud : “Dan janganlah kamu duduk di jalan-jalan menghalang manusia dari jalan Allah dan kamu menghendakinya sesat”.

7. Berenang di kolam darah dan memakan batu, dan dimakannya dengan paksa.

Jibril menerangkan itulah golongan yang memakan riba. Mamakan riba seperti menghisap darah orang susah dan tidak berperi kemanusiaan. Pada hari kiamat nanti mereka dipaksa berenang di kolam darah dan dipaksa memakan batu. Dengan pengharaman riba bererti Islam menyuruh umatnya tolong menolong dengan ikhlas.

8. Mengumpul kayu api, tak mampu dipikul ditambahnya lagi.

Jibril menerangkan itulah manusia yang tidak upaya menyempurnakan amanah. Walaubagaimanapun dia masih menerima amanah. Negara Islam yang bertamadun sudah semestinya ada pentadbiran dan penjawat awamnya. Sekiranya mereka menjalankan tugas dengan amanah, akan terlaksanalah cita-cita umat Islam. Sebaliknya kalau mereka cuai dan tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan amanah atau tidak aktif maka samalah seperti orang yang memikul kayu api yang sudah tidak upaya ditambah lagi bebanannya. Ini tidaklah bererti umat Islam disuruh lari dari tanggungjawab, tetapi mengukur dirinya supaya berada di tempat yang selayaknya.
Satu perkara jika diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan, maka akan menemui kemusnahan.

9. Golongan manusia yang digunting lidah mereka, bila putus disambung semula, dipotong dan begitulah seterusnya.

Jibril menerangkan inilah ulamak umatmu yang tidak memenuhi kehendak kewajiban agama seperti yang dipidatokan kepada orang ramai. Mereka melarang manusia melakukan maksiat sedangkan merekalah yang melakukannya.
Lain yang diucap, lain pula yang diamalkan merupakan perkara olok-olok semata-mata bagi pendakwah. Sepatutnyalah mereka berbuat dengan apa yang diperkatakan, kerana orang yang mengajar dan penyeru itu berpengaruh kepada orang awam. Kesannya nanti orang bertanggapan perbuatan itu tidak ada salahnya.

10. Berkuku tembaga mencakar muka dan dada sendiri.

Jibril menerangkan mereka itulah orang yang memperkatakan keburukan-keburukan dan aib orang lain. Memperkatakan keburukan orang lain memang digemari oleh kebanyakan orang, pada hal ia sangat terlarang dalam agama. Untuk menjauhi perkara tersebut ukurlah diri sendiri apalah lebihnya dia dan aku untuk dia dicerca. Mereka seolah-olah memakan daging saudaranya yang mati.

11. Seekor lembu keluar dari lubang yang kecil kemudian cuba masuk semula, tetapi tidak dapat.

Jibril menerangkan itulah perumpamaan orang yang suka setiap kali mengeluarkan kata-kata yang berbahaya kesannya tanpa difikir dengan neraca kebenaran terlebih dahulu, kemudian menyesal dan berusaha menghapuskan kata-katanya tetapi tidak berjaya.
Perkataan yang diucap tanpa difikirkan dan tanpa tujuan bukan sahaja akan membahayakan dirinya sendiri malah boleh menimbulkan kacau bilau dan porak peranda. Oleh kerana itu semestinya berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Disebabkan pulut santan binasa, disebabkan mulut badan binasa.

12. Perjalanan Rasulullah mendapat gangguan.

Gangguan pertama : Suara dari kanan, kemudian suara dari kiri. Tetapi Rasulullah tidak menjawabnya.
Jibril menerangkan maksud panggilan itu, dengan katanya: “Beruntung kamu tidak menjawab panggilan itu, kerana itulah panggilan yang datangnya dari orang Yahudi dan Nasrani.
Jibril berkata lagi, “Menjadi bandingannya kalau sekiranya engkau sahut teguran itu, akan celakalah dan terpengaruhlah umatmu oleh ucapan Yahudi dan Nasoro”. Rasul bersabda yang bermaksud: “Nescaya kamu akan turuti jejak langkah sunnah orang sebelum kamu sehasta demi sehasta, sejengkal demi sejengkal sehingga sekiranya mereka masuk ke lubang biawak sekali pun kamu akan turutinya”. Sahabat berkata: “Yahudi dan Nasorokah yang engkau maksudkan wahai Rasulullah?”. Jawab baginda : “Siapa lagi”.

Gangguan kedua : Panggilan seorang perempuan yang cantik, juga baginda tidak menjawabnya.
Jibril memberi penerangan terhadap bandingan tersebut dengan katanya : “Beruntung kamu tidak menjawab dan menyapa teguran itu. Seandainya engkau menjawab teguran itu, maka kelak umatmu akan mengutamakan dan mementingkan kehidupan dunia dari akhirat”.

Gangguan ketiga : Panggilan dari lelaki tua di tepi jalan.
Dengan cepat Jibril memerintahkan Rasulullah ; “Jalan terus, wahai Muhammad, itulah syaiton yang hendak mengganggumu”. Jibril bertindak cepat menunjukkan bahayanya hasutan syaitan itu yang membisikkan kepada manusia supaya terjerumus ke dalam kejahatan dan maksiat. Celakalah manusia kalau bisikan syaiton itu didengari dan diikuti.
Sabda Rasul yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi anak Adam itu ada dua bisikan. Ada pun bisikan Malaikat mengingatkan tentang kebaikan dan membenarkan kebenaran sementara bisikan Syaiton mengingat-ingatkan kejahatan dan mendustakan kebenaran. Sesiapa yang mendapati bisikan kebaikan hendaklah ia memuji Allah (Alhamdulillah) dan sekiranya mendapati bisikan keburukan hendaklah berlindung kepada Allah (A’uuzubillah)”.

13. Rasul terlihat seorang yang sudah amat tua sekali sehingga hampir tidak kuasa untuk berjalan.

Jibril menjelaskan bandingan itu adalah mengenai dunia yang sudah tua. Dunia yang kita duduki ini, sebelum kita duduki telah berlalu zaman yang berjuta-juta tahun. Kalau zaman nabi pun dunia sudah tua, zaman kita lebih-lebih lagilah. Jarak kita dengan nabi lebih seribu empat ratus tahun.
Marilah kita menginsafi dan sedar kelalaian kita selama ini. Dunia ini telah tua. Ia akan menamatkan riwayatnya dengan kehendak Allah. Tinggal menunggu hari kiamat. Dunia bagaikan matahari dah nak terbenam. Ingatlah kesempatan pintu taubat masih terbuka, jangan lalai.
Awas dan ingatlah untuk ke sana, persediaan mesti ada. Tanpa bekalan sanggupkah menanggung penyeksaan Allah. Sebelum terlambat dan sebelum nasi menjadi bubur, berbaktilah kepada Allah siang dan malam dengan ikhlas semoga ia akan melindungi kita.

14. Sampai di Baitul Maqdis Rasulullah turun di Masjid al Aqsa.

Para Malaikat, Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul berkumpul menunggu kedatangan Nabi s.a.w. Mereka dihidupkan kembali sempurna dengan tubuh dan anggotanya sekali. Jibril memerintahkan Rasulullah menjadi imam. Ini menunjukkan bagaimana kedudukan Nabi s.a.w. itu.

15. Persidangan nabi-nabi dan rasul-rasul.

Selepas sembahyang Rasulullah memberi ucapan kepada seluruh Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Ucapan baginda yang bermaksud: “Segala puji itu bagi Allah yang telah mengutus aku menjadi rahmat untuk seluruh alam dan untuk segenap manusia dengan membawa khabar gembira dan menakutkan. Tuhan yang telah menurunkan Al-Qur’an kepadaku, di dalamnya mengandungi penerangan bagi segala sesuatu. Dan menjadikan umatku umat yang paling mulia, ditampilkan ketengah-tengah manusia umum. Dijadikan Allah umat yang pertengahan, umat permulaan dan kesudahan. Tuhan melapangkan dadaku, Tuhan meringankan badanku, Tuhan telah mengangkat namaku. Tuhan jadikan aku pembuka dan penutup”.
Selesai ucapan itu, Nabi Ibrahim a.s. selaku wakil Nabi dan Rasul menyampaikan ucapan balas yang bermaksud : “Para Nabi sekelian, begitulah kelebihan dan kemuliaan yang dianugerahi Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Muhammad itu imam kamu sekelian, pimpinan kamu, dan kamu sekelian pengikutnya, kamu sekelian termasuk pada golongan umat Muhammad s.a.w.”.

16. Dihidangkan minuman.

Sesudah selesai perjumpaan itu Rasulullah merasa haus yang amat sangat, lalu jibril menghidangkan untuk Nabi kita tiga gelas yang berisi arak, susu dan air. Dengan taufiq dan hidayah dari Allah, Nabi kita memilih susu. Waktu itu Jibril berkata yang bermaksud : “Engkau telah memilih fitrah (barang yang suci). Sekiranya engkau memilih arak, maka celakalah umatmu, dan tiada yang mengikutmu melainkan sedikit sahaja. Dan sekiranya engkau memilih air akan tenggelamlah umatmu”.


17. Mi’raj Rasul.

Mi’raj itu bererti tangga. Dengan demikian menurut riwayat-riwayat hadis yang sohih, Mi’raj itu tidak lagi dengan menunggang buraq, bahkan dengan tangga. Perjalanan Mi’raj ini, Nabi kita masih ditemani oleh Malaikat Jibril a.s. Mereka naik dari Baitil Maqdis arah ke angkasa dan naik hingga kesepuluh tingkatan.

· Tingkat pertama : bertemu Nabi Adam a.s.
· Tingkat kedua : bertemu Nabi Isa dan
Yahya a.s.
· Tingkat ketiga : bertemu Nabi Yusof a.s.
· Tingkat keempat : bertemu Nabi Idris a.s.
· Tingkat kelima : bertemu Nabi Harun
a.s.
· Tingkat keenam : bertemu Nabi Musa a.s.
· Tingkat ketujuh : bertemu Nabi Ibrahim
a.s.

· Sampai kelangit ketujuh ; memasuki Baitul makmur.

Baitul makmur adalah tempat ibadah bagi para malaikat dan menjadi lambang seperti ka’bah bagi manusia di bumi. Letaknya setentang dengan tempat letaknya Ka’bah di bumi. Pada Baitul Makmur masuklah 70,000 malaikat setiap hari berganti-ganti, yang masuk tidak dapat mengulangi lagi sehingga hari kiamat.
Jumlah Malaikat terlalu banyak. Menurut Sonhaji di dalam Kanzul Asrar adalah sekelian manusia satu persepuluh jin, sekelian jin dan manusia satu persepuluh binatang darat, sekelian binatang darat, jin dan manusia satu persepuluh burung-burung. Sekelian yang disebut itu baru satu persepuluh binatang-binatang yang berada di dalam lautan. Jumlah semua itu baru satu persepuluh malaikat-malaikat yang berada di bumi. Dihimpunkan semua sekali baru satu persepuluh malaikat yang ada pada langit yang pertama.
Demikianlah seterusnya keadaan ini hingga ke tujuh petala langit. Manusia, jin, binatang lautan dan daratan barulah satu persepuluh malaikat di satu bilik pada ‘Arasy yang mempunyai seribu bilik itu.

· Tingkat ke lapan : Nabi Muhammad s.a.w. naik ke Sidratul Muntaha.

Sidratul Muntaha iaitu sebatang pohon yang menjadi tanda perbatasan antara alam bawah dengan alam atas. Makhluk di bawah tidak boleh melepasi ke atas dan makhluk di atas tidak boleh melepasi ke bawah. Tetapi dalam hal ini Rasulullah dan Jibril, Allah izinkan melewati perbatasan itu.

· Tingkat kesembilan : Rasulullah naik disatu tempat yang bernama Mustawa.

Disana kedengaran bunyi gerak Qalam yang menulis peraturan Allah s.w.t., iaitu yang bergerak pada Luh Mahfuz.
Apakah pena dan bagaimana bentuknya Luh Mahfuz itu tidaklah kita ketahui. Kita serahkan pengetahuannya kepada Allah. Bagi kita cukup meyakini bahawa pena dan Luh Mahfuz itu ada tertulis ketentuan dan peraturan Allah.

Syurga.

Nabi dibawa melalui satu lembah yang nyaman dan dingin, anginnya membawa bau-bauan yang wangi bak kasturi yang sedap dihidu, serta kedengaran suara-suara yang riang daripadanya. Juga suara syurga yang mendayu katanya: “Telah tersedia banyak padaku : tempat tinggal, sutera tebal, sutera halus, permaidani, mutiara, marjan, emas, perak, pinggan mangkuk, piring cawan, cerek, kenderaan, madu, air, susu dan khamar. Maka berikanlah daku apa yang Engkau janjikan”.
Berfirman Allah : “Akan Ku kurniakan bagimu wahai syurga : setiap muslim dan muslimah, sekelian yang beriman kepadaku, beriman kepada rasul, beramal soleh dan tidak menyengutukanKu dengan yang lain. Sesiapa yang takutkan Aku ia terselamat. Sesiapa memohon kepadaKu, Aku memberinya. Sesiapa yang meminjamkan Aku, Aku membalasnya. Sesiapa yang menyerah kepadaKu, Aku melindunginya. Sesungguhnya Aku Allah, tiada tuhan melainkan Aku. Aku tidak mungkir janji. Sesungguhnya telah menang orang yang beriman. Maha berkat Allah sebaik-baik Pencipta”. Syurga menjawab: “Aku redha”.
Rasulullah melihat tulisan dipintu syurga berbunyi : “Sedekah itu digandakan pahalanya dengan 10 kali ganda dan pinjaman pula 18 kali ganda”. Rasulullah bertanya kepada Jibril apa sebabnya? Jibril menjawab : “Seorang peminta apabila meminta masih ada padanya sesuatu, pada hal seorang peminjam apabila meminjam pasti kerana hajat dan keperluan”.

Neraka.

Kemudian Nabi dibawa ke lembah lain, lalu terdengar suara-suara jelek, dan hawanya berbau busuk. Juga suara jahannam yang menyeru: “Tuhanku berilah aku apa yang Engkau janjikan. Telah ada padaku rantai, air panas, pohon berduri, air sejuk, azab dan seksa. Terlalu dalam dasarku, terlalu panas apiku. Maka berilah daku apa yang Engkau telah janjikan”.
Allah berfirman : “Bagimu wahai neraka setiap musyrik dan musyrikah, kafir dan kafirah dan sekelian penyombong dan pengingkar yang tiada beriman dengan hari hisab”. Neraka menjawab : “Aku redha”.

Dalam satu riwayat Rasulullah bersabda : “Aku melihat 10 macam seksaan bagi kaum wanita :

1. Wanita yang digantung rambutnya.
· Adalah kerana tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat oleh lelaki asing.

2. Wanita yang digantung lidahnya.
· Adalah kerana ia suka menyakiti suaminya. Rasulullah bersabda: “Seseorang wanita yang mengatakan kepada suaminya, aku belum pernah melihat kebaikanmu, Allah akan hapuskan kebaikannya selama 70 tahun, walaupun dia berpuasa pada siang hari dan mengerjakan solat pada malam hari”.

3. Wanita yang digantung buah dadanya.
· Adalah kerana dia menyusui anak orang lain tanpa mendapat keizinan suaminya.

4. Wanita yang diikat kakinya.
· Adalah kerana dia keluar dari rumah tanpa mendapat izin dari suaminya terlebih dahulu dan tidak ‘mandi wajib’, yakni mereka yang tidak mandi bagi membersihkan diri setelah habis haid dan nifas.

5. Wanita yang makan badannya sendiri.
· Adalah kerana berhias untuk dilihat oleh lelaki lain dan mereka yang suka membicarakan aib orang lain.

6. Wanita yang memotong-motong badannya sendiri dengan gunting dari neraka.
· Adalah kerana dia memasyhurkan dirinya di kalangan orang ramai dengan maksud supaya orang melihat perhiasannya. Dan setiap orang yang melihat akan tertarik kepadanya sebab perhiasan yang dipakainya.

7. Wanita yang diikat kedua kaki dan tangannya sehingga sampai kepada ubun-ubunnya, dan dibelit oleh ular dan kala jengking.
· Adalah kerana dia itu boleh solat, puasa tetapi dia tidak mahu mengambil wudhuk dan dia tidak mahu mengerjakan solat dan tidak mahu mandi wajib.

8. Wanita yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya seperti keldai.
· Adalah kerana dia suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.

9. Wanita yang berbentuk seperti anjing.
· Adalah kerana dia itu ahli fitnah dan suka memarahi suaminya.

· Tingkat kesepuluh : Nabi diselubungi dan diarak oleh awan membawa Nabi bersendirian ke ‘Arasy.

Sebelum Nabi kita naik ketingkat sepuluh ini, Jibril berhenti dan enggan untuk menemani Rasulullah. Jibril berkata: “Sampai disini sahaja kedudukanku. Kalau aku melampaui, nescaya akan terbakarlah aku”.
Setelah nabi dibawa dengan awan, maka pada satu tempat ‘Arasy Nabi tersungkur sujud berkata-kata kepada Allah. Nabi mengambil tempat, Allah tidak mengambil tempat.
Ketika disini Allah berfirman yang maksudnya : “Aku jadikan engkau wahai Muhammad menjadi kekasihku dan Aku utuskan engkau kepada seluruh manusia membawa khabar gembira dan pengancam, Aku lapangkan dada engkau, Aku ringankan bebananmu yang berat, Aku tinggikan namamu, setiap kali orang menyebut namaKu, namamu juga beserta, dan Aku jadikan engkau umat yang paling mulia, ditampilkan ketengah masyarakat manusia umum, dan Aku ketika menjadikan langit dan bumi. Sudah Aku fardhukan satu perintah kepadamu dan umat-umatmu sembahyang lima puluh waktu. Maka dirikanlah olehmu dan umatmu”.
Setelah selesai mendapat perintah, setibanya di langit ke enam, berjumpa nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. mengambil kesempatan bertanya: Perintah apakah yang telah diwajibkan ke atasmu dan umatmu? Nabi menjawab : “Allah memfardhukan sembahyang 50 waktu sehari semalam”. Nabi Musa berkata : “Mintalah supaya perintah itu dikurangi, kerana umatmu tidak akan mampu mengerjakannya, sedangkan umatku yang besar hanya difardhukan tiga waktu sehari pun, tidak mampu mengerjakannya”. Mendengarkan itu Nabi pergi meminta kepada Allah supaya dikurangi perintah tersebut. Maka Allah mengurangkan kepada 5 waktu. Maka Nabi s.a.w berulang-alik dari Nabi Musa a.s. kepada Allah supaya dikurangi lagi. Akhirnya Allah berfirman yang bermaksud : “Itulah kefardhuan lima waktu sembahyang dalam sehari semalam. Tetapi pahalanya tetap sama 50 waktu, kerana tiap-tiap satu sembahyang dapat ganjaran sepuluh pahala. Tidak ditukar keputusanKu dan perintahKu”.
“Sesiapa yang berniat mengerjakan kebaikan dan belum dikerjakannya, maka dia mendapat satu pahala. Maka sekiranya sudah dikerjakan maka ia mendapat sepuluh pahala. Sesiapa yang bermaksud mengerjakan satu kejahatan dan belum dikerjakan maka belum dapat apa-apa. Jika sudah dikerjakan akan kejahatan itu maka ia akan ditulis satu dosa”.
Setelah selesai semua perkara itu, Rasulullah kembali dan hilanglah kembali awan itu. Nabi pun bertemu kembali dengan Jibril a.s., lalu mereka turun ke bumi sampai ke Baitul Maqdis. Lalu baginda naik Buraq dan diiringi oleh Jibril. Kemudian kembali semula pada pagi-pagi hari sebelum fajar.

Kesimpulan.
Isra’ dan Mi’raj adalah ujian :

Ujian kepada keimanan.
Ujian sebagai pengabdian (menunaikan solat).
Ujian kepada harta benda.
Ujian terhadap amanah dan tanggungjawab.
Ujian perempuan.
Ujian kepada anggota, terutamanya mulut.

Doa.

Ya Allah, jadikanlah kami dari golongan orang yang bertaubat.
Ya Allah, jadikanlah kami dari golongan orang yang bersih

sedutan dari buku saya: kekasihku ya Rasulallah. hak cipta terpelihara.

Print Page

1 ulasan:

  1. wlupon selalu baca kisah israk mikraj tapi selalu lupa isi pentingnya. ya allah, lemah nya iman ku..

    BalasPadam



TV9