(Al A’raf 199)
199- Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).
Bila Rasul bertanya kepada al Amin Jibril erti ayat. Jibril memberitahu:
أنْ تـَصِلَ مَنْ قـَطَعَكَ وَتـُعْطِيْ مَنْ مَنَعَكَ وَتـَعْفـُوْا مَنْ ظَلَمَكَ
(Engkau menyambungkan silaturrahim orang yang memutuskannya denganmu, engkau memberi orang yang tidak pernah memberimu dan engkau memaafkan orang yang menzalimimu)
Ar Rasul bersabda lagi:
أَحْسِنْ إِلَى مَنْ أسَأَ إلـَيْكَ
(Berbuat baiklah kamu kepada orang yang berbuat jahat kepadamu)
Sabdanya lagi:
قـُلِ الْحَقَّ وَلـَوْكـَانَ مُرًّا
(Katakanlah yang benar sekalipun pahit).
Baginda mengadilkan hukuman walaupun kepada orang yang marah kepada baginda. Baginda bersifat lunak ketika marah.Sabar mengahadapi ujian, kasih kepada orang yang lemah, membantu orang yang tidak berkuasa. Membiasakan benar,ikhlas, tawadhuk dan lemah lembut. Amanah dan benar memenuhi jiwa kerana mengharapkan pahala, takut daripada seksa.
Baginda tidak memperolehi pengetahuan daripada kitab, sekolah dan cerdik pandai. Baginda datang ditengah-tengah umat yang buta huruf, berada di bawah tindihan kebodohan, kemunduran dalam tempuh yang begitu panjang, tunduk kepada berhala, menelek nasib, mengamalkan ta’asub kekabilahan, suka kepada peperangan dan pembunuhan, mengalirkan darah, dan membunuh anak.
Baginda berdakwah dengan lemah lembut, hikmah, kasih sayang, menganggung siksaan dengan sabar dan tabah, mengampun dan memaafkan, tidak meringan-ringankan perkara yang halus, dan tidak melupakan perkara yang besar.
Dakwah baginda sehingga boleh merubah tabiat orang Arab kepada tabiat yang mantap. Baginda dapat menghalang penjahat daripada kejahatannya, penzina dari melakukan zina dan kaki judi dari judinya. Dengan demikian tersebarlah kasih sayang, terikatlah hubungan antara individu dan jamaah, berkuranglah kejahatan, semakin suburlah kebajikan, dan semakin megarlah kebaikan dan makruf. Jadilah manusia dalam zaman yang paling berkat. Kehidupan yang tinggi, tenang dan damai, dengan kelebihan kurniaan syariat Islam dan tadbiran yang bijak.
Sesungguhnya peraturan-peraturan dunia yang bertamadun sekarang ini, belum dapat mencapai sedikitpun dari ketinggian ini, belum dapat mendatangkan kebahagiaan yang diharapkan dan tidak dapat mendatangkan ketenangan dan kejernihan kepada dunia, bahkan mewariskan kepada mereka, kecelakaan dan bala, penghancuran dan pembunuhan. Tamadun mereka bermula dari kebendaan dan berakhir kepada kebendaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan