| Ar-Rahnu KUKUH Selangor Bhd Telah beroperasi | AG MENGUTAMAKAN MUAMALAH YANG SAH | AG Is Giving Priority To A Valid Muamalah | Pengarah Urusan : Hjh Khainarida | Panel Syarak : Hj Othman Hamzah | |

Khamis, 17 Februari 2011

HARI MEMPERINGATI KEKASIH S.A.W

DUNIA BERHAJAT KEPADA MUHAMMAD.

Sesungguhnya kemanusiaan dalam alam ini sangat berhajat kepada Muhammad s.a.w. Sebelum kebangkitan Muhammad s.a.w., manusia terbahagi kepada dua golongan:

1. Golongan yang terhalang daripada mendapat hidayah langit.

Golongan ini sesat di sahra’ kehidupan yang tidak mengenal tuhan dan tidak mengenal batasan. Kadang-kadang menyembah batu, pokok, lembu dan sebagainya. Hidup dalam kebodohan sehingga mati, samada menjadi tanah atau untuk menjadi kayu bakaran neraka.
Allah sahaja yang mengetahui tempat kembali mereka, sejauhmana mereka berkesempatan menerima hidayah. Golongan ini dinamakan Ummiyyin.

2. Golongan ahlul Kitab.

Golongan yang menerima kitab, tetapi mereka memalsukan wahyu dan memalsukan kitab-kitab Allah. Dunia tidak akan dapat mengetahui petunjuk, tidak akan melihat kebenaran, tidak akan dapat menetapkan kaki di atas sirat melainkan sesudah kedatangan nabi s.a.w.

Sesungguhnya keperluan dunia kepada Muhammad bagaikan keperluan mata yang buta kepada penglihatan, bagaikan keperluan kaki yang lumpuh kepada bergerak, bagaikan keperluan jasad yang sakit kepada sihat.

Sesungguhnya Muhammad s.a.w. dengan Kitab dan Sunnah mengembalikan kita kepada agama yang sebenar, memberikan penglihatan yang sebenar dan kebaikan kepada manusia seluruhnya.
Dunia sangat perlu kepada Muhammad s.a.w. Harapan mereka untuk selamat daripada terpinga-pinga, menjinakkan diri daripada keliaran, memimpin kembali kepada Allah dan membasmi dari kejahilan.

Kenabian merupakan pemberian daripada Allah, bukan dicapai dengan usaha manusia. Firman Allah Taala :

Al-Ahzab : 45-46

45. Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).

46. Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberiNya dan sebagai lampu yang menerangi.

Rasullullah menjadi saksi perkataan, perbuatan dan saksi di akhirat kelak bahawa baginda telah menyampaikan Islam ini kepada kita.

KELAHIRAN BAGINDA.

Kelahiran baginda juga merupakan kelahiran kepada akidah, perinsip dan fikrah yang baru. Baginda sanggup menentang dunia keseluruhannya demi menyampaikan dan mempertahankan kesemua itu. Firman Allah :

Al-Maidah : 15

Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad s.a.w.) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Qur’an) yang jelas nyata keterangannya.

Menurut sebahagian tafsiran, cahaya di sini adalah Muhammad s.a.w. dan kitab ialah Al-Qur’an.
Sesungguhnya Allah memilih Muhammad s.a.w. untuk diturunkan kepadanya kitab. Namanya diiringi dengan nama Muhammad s.a.w. dalam syahadah. Tidak Islam orang yang tidak mengucap syahadah.

Baginda merupakan jalan menyampaikan ke hadhrat Allah, untuk mengenalnya di dunia dan kunci syurga dan kejayaan di akhirat. Allah jadikan mentaati Rasul sebagai syarat dalam mentaatinya. Firman Allah :

An-Nisa’ : 80

Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).

Dalamnya menerangkan bahawa ketaatan kepada Rasul adalah ketaatan kepada Allah, kerana Rasul tidak menyuruh melainkan dengan apa yang diperintah oleh Allah, dan ia tidak melarang melainkan daripada apa yang dilarang oleh Allah Taala. Maka mentaati penyampai adalah mentaati Yang mengutuskannya. Dan sesiapa yang berpaling iaitu berpaling daripada mentaatimu, maka ia pada hakikatnya sesungguhnya menderhakai Allah Taala. Maka Kami (Allah) tidak mengutuskanmu ke atas mereka sebagai penjaga iaitu untuk menjaga amalan-amalan mereka, Hanyalah tugasmu Muhammad untuk menyampaikan, bukannya dipertanggungjawabkan menjadikan hati mereka beriman.

Allah jadikan mentaatinya sebagai wasilah untuk menjadi kekasihnya. Firman Allah :

Ali Imran : 31

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Tafsiran ;

(Katakanlah jika kamu mencintai Allah iaitu jika kamu benar-benar dalam dakwaanmu mengasihi Allah, maka ikutilah aku di atas Islam, maka sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa aku adalah Rasulullah, nescaya kamu akan dikasihi oleh Allah. Maka kasih Allah kepada hambanya adalah kesan daripada mengikut nabi s.a.w. dan mentaatinya. Dan kesan cinta Allah kepada hamba-hambanya ialah Allah nikmatkan ke atas mereka dengan keampunan, kurniaan, rahmat dan hidayah kepada jalan yang lurus).

Dari buku: Kekasihku Ya Rasulullah - S.M Hj.Othman Hamzah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan



TV9