Hari ini saya ditanyakan persoalan tersebut, tidak sempat saya menjawabnya. Terasa menjadi kewajiban saya menjelaskannya terutamanya dalam perkara jual beli emas. Untuk memudahkan kefahaman, saya bawakan sebahagian bentuk amalan yang bercanggah dengan prinsip serah dalam majlis tukar emas lama dengan emas baru dengan bayar perbezaan.
Tidak harus jual emas terpakai dengan emas baru dengan membayar perbezaan
Dan ini termasuk dalam riba, maka emas tidak boleh dijual dengan emas melainkan sama dengan sama dan tunai dengan tunai
Dalam sahih Muslim: Dari Abi Said al Khudri bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
لا تبيعوا الذهب بالذهب إلا مثلا بمثل, ولا تشفوا بعضها على بعض ولا تبيعوا الورق بالورق إلا مثلا بمثل ولا تشفوا بعضها على بعض, ولا تبيعوا منها غائبا بناجز
“ Jangan kamu jual emas dengan emas melainkan sama dengan sama.........”
Dalam sahih Muslim (1588) dari Abi Hurairah berkata: bersabda Rasulullah s.a.w:
الذهب بالذهب وزنا بوزن مثلا بمثل والفضة بالفضة وزنا بوزن مثلا بمثل فمن زاد أو استزاد فهو ربا
" Emas dengan emas mestilah secara sama timbangan dengan timbangan, perak dengan perak mistilah dengan sama timbangan dengan timbangan, sama dengan sama. Maka sesiapa menambah atau minta tambah, maka itu adalah riba."
Maka untuk melepaskan diri dari riba dalam masalah ini, hendaklah jual emas yang terpakai dengan menerima duit secara tunai, kemudian bolehlah beli emas yang baru.
Syeikh Ibn Uthman r.h berkata:
“Telah sabit dari nabi s.a.w bahawa baginda bersabda:
الذهب بالذهب, والفضة بالفضة, والبر بالبر, والتمر بالتمر, والشعير بالشعير, والملح بالملح مثلاً بمثل سواء بسواءٍ يداً بيد
" Emas dengan emas, perak dengan perak, barli dengan barli, tamar dengan tamar, gandum dengan gandum, garam dengan garam sama dengan sama, tunai dengan tunai".
Telah sabit dari nabi bahawa baginda dibawakan tamar yang baik, lalu baginda bertanya kepada sahabat lalu mereka menjawab : Kami mengambil satu gantang dari jenis ini dengan dua gantang dari jenis lain dan dua gantang dengan tiga gantang dari jenis yang lain. Lalu baginda memerintahkan dengan menolak jual beli tersebut dan baginda bersabda: “ Ini adalah bentuk riba”.
Dari hadis-hadis ini dapat kita ambil hukum bahawa menukar emas dengan emas beserta menambah upah tukang kepada salah seorang keduanya tidak harus dan termasuk ke dalam riba yang di larang oleh nabi s.a.w .
Cara yang selamat dalam perkara ini, hendaklah jual emas lama atau yang patah dengan harga tanpa pakatan. Dan setelah tuannya menerima harga, barulah ia membeli sesuatu yang baru. Apabila tidak ada yang mahu membeli emas miliknya, ia boleh membeli emas baru dengan dirham atau lainnya. Dan apabila berlaku tambahan, maka tidak salah.
Yang penting tidak berlaku pertukaran emas dengan emas dengan membayar perbezaan, walaupun atas nama upah tukang. Ini apabila peniaga tersebut peniaga yang menjual. Adapun jika ia adalah peniaga yang sebagai tukang, kita boleh berkata: “ambillah emas ini buatkan untukku bentuk yang dikehendaki, dan aku berikan kepadamu upahnya apabila selesai pembuatannya. Ini tidaklah salah.
Begitu juga jual beli emas dengan bayar duit dahulu emas kemudian, ini boleh membawa kepada riba menurut ulamak yang menganggap duit sebagai nuqud, kerana nuqud pada zaman nabi adalah emas dan perak. Muamalah antara keduannya mestilah dengan tunai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan