Parameter Pelaburan Emas
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada
13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas.
Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Syarat Umum Jual Beli
1. Transaksi jual beli emas mestilah
memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang
berakad, item pertukaran, dan sighah menurut ’uruf yang diamalkan. Jika
sekiranya suatu transaksi tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi
tersebut dikira tidak sah.
Pihak Yang Berakad
2. Pihak yang berakad mestilah orang
yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu
dengan memenuhi kriteria berikut:
i. Baligh, berakal dan rasyid
Jika sekiranya pihak yang berakad
seorang yang gila atau kanak-kanak samada mumayyiz atau tidak mumayyiz, maka
jual belinya adalah tidak sah. Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak
sah kerana jual beli ini melibatkan barang yang tinggi nilainya.
ii. Keredhaan
Akad jual beli mestilah dimeterai
oleh dua pihak yang saling reda-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan
eksploitasi.
Harga Belian (al-Thaman)
3. Harga belian (al-Thaman)
hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi
jual beli.
Barang Belian (al-Muthman)
4. Barang belian (al-Muthman)
hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual
ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak
wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak
yang menjualnya adalah tidak sah.
5. Barang belian (al-Muthman)
hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang
belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan
tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.
6. Barang belian (al-Muthman)
hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi
jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:
i. Melihat sendiri barangan yang
hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh
yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.
ii. Melihat sampel barangan yang
hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad
dilaksanakan.
iii. Menentukan sifat-sifat dan
kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan
pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap
ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24
karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan
sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer,
jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang
disyaratkan dalam penentuan sifat emas.
Sighah
7. Sighah dalam jual beli adalah
suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak
jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh
mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli
secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang
muktabar oleh sebahagian fuqaha’.
8. Di dalam sighah jual beli tidak
boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya
menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh
setahun”.
9. Ijab dan qabul mestilah
bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan
kadarnya.
Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi
10. Oleh kerana emas dan wang adalah
dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan
bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:
i. Berlaku taqabudh
(penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum
kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.
ii. Jual beli emas hendaklah
dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.
Syarat-syarat tersebut adalah khas
bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling
emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar
daripada illah ribawi.
Perincian taqabudh dan
urusniaga lani adalah seperti berikut:
Syarat Pertama: Taqabudh
11. Taqabudh (penyerahan)
hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga dan juga barang
belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah
daripada majlis akad.
12. Penyerahan harga boleh dilakukan
melalui kaedah-kaedah berikut:
a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.
Secara urufnya, kesemua
bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran tunai
oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana
pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang
mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di
antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.
Status tunai ini masih lagi diterima
secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan
menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas
transaksi berlaku.
13. Penyerahan barang belian (emas)
hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh
menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan
membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:
a. Berpindah dhaman
(tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.
14. Majlis akad di dalam transaksi
jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara
maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui
telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi
disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh
ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.
Perlu diberi perhatian bahawa majlis
akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang
berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian
menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut
sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika
pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual
dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli
secara hakiki atau hukmi.
Syarat Kedua: Secara Lani
15. Transaksi jual beli emas
hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur
penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.
16. Penangguhan penyerahan harga
yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara
keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.
17. Kelewatan penyerahan emas yang
melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak
dibenarkan sama sekali.
Manakala bagi kelewatan penyerahan
emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa
terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih
cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya
kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain,
penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan.
Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu
uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.
Di dalam pertukaran mata wang asing,
tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan
tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing
house dan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat
di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk
membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.
Namun secara praktikal, pihak
penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan
sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa
tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan
penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan
berikut:
Pihak pembeli akan hanya membuat
pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang
ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun
penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:
i. Pada peringkat ini, akad jual
beli emas masih belum berlaku.
ii. Wang yang berada di dalam akaun
penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan
disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika
satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh
penjual.
iii. Emas masih lagi kekal menjadi
milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.
iv. Di dalam peringkat ini, pembeli
masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan
wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan
tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli.
Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika
ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada
pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila
penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas
tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut
harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian
RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar
adalah sebanyak RM1000.
Apabila wang pesanan sudah diberi
clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust
account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah
diserahkan kepada pembeli.
Akad Dan Unsur Sampingan
18. Penglibatan hibah dalam
transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai
adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak
melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian
bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di
dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan
oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah
tersebut.
19. Penglibatan wadiah dalam
pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara
lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.
20. Seseorang yang membeli emas
bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh)
kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang
dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak
wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual
beli.
21. Seseorang yang membeli emas
bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai
pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan
adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini
seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan
aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.
22. Wa’d boleh dimasukkan
dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan
bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d
dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat
perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini
dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses
akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.
23. Transaksi jual beli hendaklah
bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan, dan
kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli
adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.
Assalamualaikum..
BalasPadammemetik perkara 17 di dalam artikel di atas..
"17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing."
Soalan saya.
Adakah penyerahan dinar selepas sehari atau dua hari dari hari pembayaran adalah tidak dibenarkan??
sebagai contoh..
Muhd ingin membeli emas dari Abu, setelah dipersetujui bersama (di adakan akad) dan Muhd membuat pembayaran kepada Abu tetapi Abu hanya menyerahkan Emas tersebut pada hari keesokannya atau dua hari selepas itu.
Adakah jual beli ni sah atau batal??
sekian..
lock hanya janji. bila bayar kena beri emas. kalau tidak berlaku riba
BalasPadam